Didikan Allah Untuk Bakal Manusia Hebat !!
“Hmm… kamu sendiri rasa bagaimana?” saya memulangkan soalan itu kepadanya.
“Entahlah, saya tak boleh buang rasa tidak puas hati saya dengan emak dan ayah. Makin menjadi-jadi perasaan itu” katanya lagi.
“Apa yang paling kamu tidak suka tentang emak dan ayah kamu?” saya menyoalnya lagi.
“Saya tengok, kawan-kawan saya boleh ketawa dan bergurau dengan emak dan ayah mereka. Tetapi orang tua saya tidak pernah buat begitu. Mereka jarang mahu berbual dengan kami,” pelajar Tingkatan 3 itu menyambung kisah.
Rasa tidak berpuas hati dengan ibu bapa sering berlaku kepada anak remaja. Ia selalu terjadi apabila anak masuk ke usia sekolah menengah. Lazimnya perasaan itu timbul kerana pada usia begini, anak-anak mula bertandang ke rumah rakan, kadang-kadang tidur di rumah mereka, dan menjadi semakin memerhati serta memahami apa yang dilihat. Melihat cara ibu dan bapa rakan-rakan melayan keluarga mereka, menyebabkan si anak ‘tersedar’ tentang benda-benda yang tiada di rumahnya selama ini.
Kesan perbandingan.
DI PIHAK IBU BAPA
Jika perbandingan menjadi punca anak-anak tidak berpuas hati dengan ibu bapa, apakah yang patut dibuat? Adakah dengan menghentikan saingan itu, menghalang anak ke rumah rakan dan menegah mereka daripada membanding-bandingkan?
Untuk ibu dan bapa, mereka harus bertindak lebih baik daripada itu. Menyekat dan menghalang, hanya menunjukkan kelemahan kita yang mahu menggunakan kuasa, tanpa mahu meningkatkan pengaruh ke atas anak-anak. Tatkala anak membanding-banding kita dengan ibu bapa kawan mereka, itu adalah petanda kemerosotan pengaruh kita ke atas mereka. Justeru pengaruh itu mesti dipulihkan, dengan memperbaiki kualiti diri.
Muhasabah kembali, siapakah yang memperkenalkan ‘perangai membanding-bandingkan’ itu? Jika kita pernah membandingkan si anak dengan anak orang lain, merendah-rendahkannya di hadapan sepupu yang ‘lebih berjaya’, maka kita hakikatnya sedang menuai hasil tanaman sendiri. What you give, you get back!
Maka haruslah kita sebagai ibu dan bapa, bertindak mengubah keadaan itu. Berhenti membandingkan anak hingga hilang harga diri mereka, putus asa daripada berusaha memuaskan hati kita yang lebih risaukan satu B berbanding empat A dalam lima mata pelajaran yang diambilnya. Kesan banding membandingkan itu, amat perit kepada jiwa anak-anak, sebagaimana yang sedang mula berlaku ke atas diri kita sebagai ibu bapa ketika mereka memanjat usia remaja. Membandingkan kita dengan ibu bapa kawan-kawan mereka.
Berusaha jugalah untuk menyayangi anak dengan kasih sayang yang mereka fahami. Ya, kasih sayang yang difahami sebagai kasih sayang.
Sukar jalannya untuk meyakinkan anak-anak bahawa ibu bapa mereka juga menyayangi mereka, walaupun mungkin dalam bentuk yang berbeza.
Leteran itu sebenarnya sayang, sikap dingin itu sebenarnya sayang, melebihkan orang lain itu hakikatnya sayang, marah dan rotan itu juga sebenarnya sayang… aduh, luar biasa sekali bentuk kasih sayang ibu bapa seperti ini. Hingga akhirnya mungkin si anak akan berkata, “lebih baik mereka tidak menyayangiku, jika kasih sayang mereka semuanya menambah sakit dan derita!”
Mungkin kita memang bertindak begitu kerana menyayangi anak-anak.
Namun cubalah sekali sekala, menyayangi mereka dengan cara yang langsung terus dilihat sebagai kasih sayang.
Berikan telinga kepada si anak untuk mendengar keluhan mereka.
Bapa capailah bahu anak dari belakang, goncangkan tubuh mereka dalam pelukan mesra, tanda menyokong mereka untuk berjaya.
Ibu sikatlah rambut anak tanpa diminta, dan sesekali suapkan nasi ke mulut anak, biar pun dia sudah di Tingkatan 3.
Satu kasih sayang yang begitu, boleh memadamkan ratusan kepahitan yang pernah hinggap ke kehidupan semalam.
DI PIHAK ANAK-ANAK
Ada pun untuk si anak, mereka harus diajak kepada membuat satu anjakan paradigma.
“Ibu bapa penting, mereka mesti kita hormati. Jaga perasaan mereka dan jangan tinggikan suara. Tetapi ada sesuatu yang lebih penting daripada mereka,” saya mengajak remaja itu bertenang.
“Apa dia?” tanya beliau.
“Diri kamu sendiri!” saya merenung matanya. Mahu menambah kesungguhan maksud.
“Maksud ustaz?” beliau kurang faham.
“Dalam hidup ini, ada banyak benda yang kita tidak boleh pilih. Kamu tidak memilih untuk beribu bapakan mereka. Kamu juga tidak memilih untuk dilahirkan sebagai Melayu. Juga tidak memilih untuk lahir di Malaysia. Tidak dengan kulit seperti ini, atau hidung seperti itu, dan telinga sebegini. Betul?” saya menyoal.
Beliau mengangguk.
“Bukan itu sahaja. Nanti bila kamu semakin dewasa, makin banyak benda yang kamu tidak pilih tetapi terpaksa menghadapinya. Cuaca, kesesakan jalan raya, rakan kerja, dan banyak lagi. Jika kamu letakkan bahagia diri kamu pada semua perkara yang kamu tidak boleh pilih itu, maka tiadalah bahagia selama-lamanya. Kamu hilang kebahagian akibat kesesakan jalan raya, akibat cuaca, akibat fesyen, akibat sekolah, akibat tekanan rakan-rakan sebaya termasuk juga akibat ibu bapa. Susah tu!” tambah saya.
“Saya nampak apa yang ustaz maksudkan” kata beliau.
“Jadi apa yang kamu mahu lakukan?” saya memberi ruang untuk beliau berfikir sendiri.
TINDAKAN MANUSIA HEBAT
“Jangan pilih jalan yang susah untuk bahagia. Pilih jalan yang lebih senang” katanya.
Saya terpegun.
“Huh, macam mana tu?” saya kepingin untuk tahu.
“Kalau nak bahagia cara susah, saya kena ubah semua benda yang menyebabkan saya tidak bahagia. Dan itu mustahil. Tetapi jalan yang paling mudah untuk bahagia, ialah saya ubah apa yang saya paling boleh ubah!” katanya.
“Iaitu…” saya memintas kerana teruja.
“Diri saya sendiri!” katanya.
Saya hampir berdiri kerana terlalu seronok mendengar kesimpulan anak muda itu. Bangga dengan keupayaannya menangkap teladan.
“Cuma satu sahaja ustaz,” ujar beliau.
“Apa dia?” saya mahu tahu.
“Apa hikmahnya Allah bagi saya terlihat dan terpandang kelemahan ayah serta ibu?” tanya beliau. Jujur.
“Hmm. Bagi seorang anak yang ‘bahagia’, apa hendak semua dapat, semuanya elok-elok belaka, kamu rasa dia sedar tak dengan satu kelemahan yang boleh berlaku pada dirinya?” saya menjawab dengan soalan.
“Tidak. Apa dia ustaz?” beliau sedikit kebingungan.
“Dia tidak biasa dengan kekurangan. Dan tidak biasa menguruskan kelemahan. Jika dia tidak sedar dengan hal itu, bersediakah dia untuk menghadapi kekurangan suaminya bila dia berkahwin nanti? Bersediakah dia untuk menghadapi kekurangan anak-anaknya apabila dia menjadi ibu nanti? Kamu rasa bagaimana?” saya menyoalnya lagi.
“Mungkin bersedia. Mungkin tak bersedia. Entah!” kata remaja itu.
“Tapi kamu, kerana sudah belajar menerima dan menguruskan kekurangan ibu bapa, kamu bersedia tak andaikata suami kamu nanti ada kekurangan, anak-anak ada kekurangan?” saya menyambung tanya.
“Bersedia!” kata beliau dengan yakin.
“Rupa-rupanya, kekurangan ibu dan bapa kamu itu, adalah didikan Allah untuk menjadikan kamu manusia hebat satu hari nanti. Insya Allah. Kamu yakin?” saya membuat kesimpulan.
“You just have to believe!” jawab beliau, memetik filem tema KEM HIJRI kali ini, Kungfu Panda.
“Tahniah!” saya menyudahkan perbualan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
0 comments:
Post a Comment