Tassadar telah menghantar robot pemerhati ke sebuah tebing tinggi yang menganjur ke gigi pantai. Dari situ dia boleh melihat setiap projek yang perlu diawasinya sepanjang penantian tersebut. Di sebalik kaca tebal, dia dapat melihat dengan jelas pemandangan sebuah markas tentera Terran di bawah sana. Pemandangan matanya mentafsirkan bahawa suasana pengkalan tentera itu amat sibuk. Berpuluh-puluh Marine dan Firebat sedang meronda kawasan markas yang pesat membangun. Keadaan seperti itu amat menghairankan kerana daripada maklumat perisikan yang disampaikan oleh Zeratul menyatakan bahawa Mojo merupakan sebuah lembah yang gelap dan sunyi serta dipenuhi ratusan tan mineral dan sumber gas asli. Namun, mercu tanda Terran telah dibina oleh pemerintahnya di tepi tebing lembah itu.
Beberapa tahun kemudian, lembah Mojo telah berubah menjadi sebuah pengkalan tentera utama bagi android-android Terran. Objek lain yang perlu Tassadar awasi ialah kemunculan Wraith di langit markas tentera Protoss. Wraith ialah sebuah pesawat pejuang mega dwifungsi buatan Kapten Norad. Kemunculannya di angkasa tentera Protoss menandakan permulaan sebuah siri peperangan di antara tentera Terran dan Empayar Agung Protoss. Tassadar meninjau lembah Mojo menggunakan sebuah robot pemerhati. Tiada tanda yang menunjukkan bahawa lembah Mojo telah pernah diserang makhluk asing Zerg. Tiba-tiba videofon yang dipasang di atas robot pemerhati membunyikan isyarat. Boom!!! Sebuah android Terran, Goliath telah menembak jatuh robot tersebut. Jelas sekali barisan pertahanan pangkalan tentera Terran bersedia menerima ancaman tentera Protoss.
“Kita perlu berwaspada. Saya khuatir tentang skuadron bionikoid Battlecruiser yang mungkin berlegar-legar di angkasa Mojo. “Apa pendapat panglima?” kata Tassadar. “Saya cadangkan, Tassadar menghantar Zeolet, Dragon dan Dark Temple untuk memusnahkan unit tentera darat musuh. Kemudian gunakan pesawat pejuang Scout dan Arbiter sebagai penghancur reaktor tenaga Terran. Skuadron pertama Protoss akan menyerbu melalui utara Mojo. Sebelum mereka tewas, skuadron kedua akan menyerbu sistem pertahanan udara mereka. Ini pukulan pertama. Semasa perang sedang berkecamuk, Tassadar yang dilindungi Reaven dan Dark Temple akan memusnahkan pusat pemerintah Terran. Skuadron ketiga pimpinan Jeneral Fenix akan menyusul setelah skuadron pertama dan kedua bergabung.” “Cadangan panglima bernas. Raynor dan Kapten Norad pasti akan terkejut melihat pasukan tentera Protoss menyerang mereka secara mendadak,” kata Tassadar.
“Tassadar, perang tidak dapat dielakkan lagi. Semoga kita mendapat semangat perang yang cukup kuat untuk menentang tentera mereka. Izinkan saya bertindak mengikut institusi saya.” “Panglima Zeratul, saya turut berharap agar Jeneral Fenix mempunyai pendirian yang sama seperti panglima. Semoga kita mencapai kemenangan dalam peperangan raksasa ini.” Perhubungan mereka terputus. Wajah Panglima Zeratul lenyap di dalam skrin.Beberapa minit kemudian, Tassadar mengeluarkan arahan kepada tenteranya untuk melakukan serangan. Perlepasan skuadron pertama dari Empayar Agung Protoss telah diikuti oleh penerbangan pesawat pejuang bionikoid dari markas Jeneral Fenix. Deruan enjin pesawat membawa cabaran perang terhadap bala tentera Terran. Hati Tassadar turut dibakar oleh api peperangan. Malam menghadirkan diri setelah siang bersemadi di ufuk barat.
Jeneral Fenix yang tiba lebih awal di lembah Mojo tidak bertangguh lagi melancarkan beberapa buah pesawat pejuang untuk mengempur Terran. Kesedaran Tassadar tersentak. Jeneral Fenix telah melancarkan pukulan bagi pihak Zeratul. Dia telah melakukan penyisihan misi yang pertama. Mungkin institusinya yang memimpin tindakan tersebut. Goliath dan Wraith segera membalas serangan Fenix dengan memuntahkan ratusan peluru berpandu yang paling hebat dimilikinya. Tiba-tiba daratan di sekeliling lembah Mojo bergegar hebat akibat ledakan meriam Seige Tank yang sedang menentang skuadron pertama Protoss. Tassadar dapat melihat beberapa skuadron boinikoid Battlecruiser menyerbu keluar dari Starpot Terran. Panglima Zeratul berjaya menguasai peperangan di darat. Kebanyakan android Terran berjaya dimusnahkan. Namun, kemenangan masih belum milik mereka.
Skuadron komando terran yang diketuai Leftenan Ghost menjadikan diri mereka halimunan terlebih dahulu sebelum serangan nuklear ke atas tentera Protoss. Beberapa saat kemudian, ledakan ketiga bom nuklear itu telah berjaya menghancurkan dan memusnahkan Zeolet, Dragon, Dark Temple dan Panglima Zeratul. Walaupun mereka berjaya menghancurkan tentera Protoss,tentera darat Terran juga turut termusnah dalam letupan besar itu. Hanya Tassadar yang dilindungi baju perisainya terselamat dan terus menuju ke sasarannya. Tiba-tiba, letupan besar meraung dan bergema di angkasa lembah Mojo. Pandangan mata Tassadar mentafsirkan bahawa Jeneral Fenix telah berjaya menundukkan tentera udara Terran. Kini, dia hanya perlu bersemuka dengan pemimpin Terran yang berada di bangunan pemerintahan di hadapan matanya.
Semangat membunuhnya memuncak apabila dia menyedari Raynor sudah bersedia untuk bertarung dengannya. Tanpa berbicara, Tassadar terus memulakan serangan pertamanya dengan libasan aura pedangnya. Raynor sempat mengelak dan melemparkan sejenis senjata ke tubuh Tassadar. Namun, senjata itu sama sekali tidak dapat mencederakannya. Mereka berbalas serangan dan mengeluarkan semua taknik pertarungan yang mereka miliki. Setelah satu jam bertarung, akhirnya kemenangan berpihak kepada Tassadar. “Arghhh…….” raungan Raynor bergema bersama letupan bangunan pemerintahan Terran.
“Aiseh, macam mana boleh kalah ni!!” Ezahan mengeluh. “Yahoo!! Akhirnya aku menang juga. Nampaknya, kenalah kau belanja aku makan.” kata Hizam. Setelah dua jam bermain permainan komputer ‘Star Craft’, mereka membuat bayaran di kaunter. Kemudian mereka keluar dari kafe siber itu untuk makan malam di Restoran Mohamed Ali. Malang tidak berbau Hizam bertembung dengan emaknya di pintu restoran itu…….
Teringat zaman2 bermain starcraft samapai satu CC penuh
ReplyDeletehuhu~ tu la dulu asyik de mse je nk g cc men starcraft multiplayer :) pastu kantoi~ haha
ReplyDelete